
sumber Berita Harian Online 18/11/2009)
KANGAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden amuk di Guar Sanji di sini, Sabtu lalu, yang berakhir dengan seorang pemuda, Mohamad Taufik Noorzan, 21, ditembak mati oleh anggota pasukan itu.
Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu akan melakukan siasatan penuh berhubung insiden berkenaan berikutan tindakan yang diambil polis ketika kejadian, dipertikaikan.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pasukan khas yang dipantau sepenuhnya Bukit Aman itu sudah memulakan siasatan kelmarin.
"Tumpuan utama siasatan akan diberikan kepada kronologi kes, terutama berhubung kewajaran tembakan yang dilepaskan polis ketika kejadian.
"Siasatan sedang berjalan dan ia dijangka selesai dalam tempoh terdekat sebelum dikemukakan kepada Bukit Aman untuk perhatian dan tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Mohamad Taufik yang juga peniaga char koey teow yang mengamuk berhampiran pusat khidmat wakil rakyat Guar Sanji terkena satu das tembakan di dada ketika dikatakan cuba menyerang seorang anggota polis dengan pisau pemotong sayur.
Polis sebelum itu, dilapor melepaskan tembakan amaran ke udara namun lelaki yang dipujuk selama lebih satu jam itu terus bertindak agresif menyebabkan satu das tembakan lagi dilepaskan.
Bagaimanapun, tindakan polis yang melepaskan tembakan ke arah dada yang mengorbankan suspek dipertikaikan dan dianggap tidak wajar, sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis meminta ia disiasat.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika diminta mengulas isu berkenaan juga mahu siasatan penuh dilakukan ke atas kes itu bagi mengelak daripada menimbulkan tanggapan buruk kepada imej PDRM.
Sementara itu, Jamshah berkata, pihaknya sedia disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pasukan khas berkenaan untuk memastikan proses siasatan berjalan lancar.
Mengenai laporan keluarga mangsa, beliau berkata, itu adalah hak mereka.
"Malah, kami di IPK Perlis menghormati tindakan itu kerana ia bertujuan mencari keadilan," katanya.
Bagaimanapun beliau yakin dengan tindakan diambil anggota berkenaan dalam kejadian itu.
"Siasatan awal dilakukan, jelas membuktikan ia bagi mempertahankan diri dan bukan suka-suka melepaskan tembakan," katanya.
P/S
Sebelum ini kita sering membaca dan mendengar berita mengenai ketangkasan PDRM menangkap penjenayah. Tetapi, setelah terbaca berita di atas, kalau tak silap penulis, kejadian ini berlaku beberapa hari yang lepas. Penulis tertanya-tanya, mengapa hal sebegini boleh berlaku, sedangkan mangsa atau 'pengamuk' yang ditembak mati itu hanyalah memegang sebilah pisau pemotong sayur. Pada pendapat penulis, anggota polis itu masih mempunyai 'option' (pilihan) untuk menembak bahagian lain yang mungkin tidak menyebabkan kematian. Tambahan pula, mangsa itu sedang dalam emosi yang tidak stabil. Apakah anggota polis tidak menjalani latihan untuk menghadapi situasi sebegini? sehingga bertindak melulu untuk melepaskan tembakan ke arah dada mangsa. Selain itu juga, adakah mangsa tersebut boleh dianggap 'penjenayah' walaupun tidak membunuh sesiapa?. Walaubagaimanapun, penulis tidak berniat untuk mempersoalkan kredibiliti pasukan polis, tetapi, hanyalah ingin meluahkan persoalan yang tersirat disebalik kejadian sebegini. Penulis berharap agar pihak polis dapat menjelaskan keadaan sebenar kejadian ini terutama sekali kepada ahli keluarga mangsa. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mangsa.
*Menulis tanpa prejudis.


No comments:
Post a Comment